Ketahui Keistimewaan Kurma Ajwa Aliyyah Madinah

Ketahui Keistimewaan Kurma Ajwa Aliyyah Madinah


Kurma telah lama menjadi sumber makanan harian untuk kesihatan dan tenaga, terutama oleh masyarakat arab. Pengambilan kurma dalam diet harian mereka telah pun diamalkan selama ribuan tahun, malah Rasullulah S.A.W turut menggemari dan mengamalkan pengambilannya.

Masyarakat di Malaysia juga telah mula mengamalkan pengambilan kurma dalam pemakanan harian khususnya apabila menjelang bulan Ramadan, di mana mereka menjadikannya hidangan pelengkap semasa berbuka dan bersahur.

Pengambilan kurma ketika berpuasa bukan sahaja mampu membekalkan tenaga berkekalan malah kandungan nutrisinya dapat memberikan pelbagai khasiat untuk kebaikan tubuh badan.



Kurma – Buah Penuh Nutrisi


Pohon kurma atau nama saintifiknya Phoenix dactylifera banyak ditanam di negara-negara Timur Tengah dan Afrika seperti Arab Saudi, Mesir, Iran, Oman, serta Magribi dan Sudan. Kini, terdapat pelbagai jenis dan variasi kurma di pasaran dan ia berbeza dari segi bentuk, warna, rasa dan kadar nutrisinya.



Jenis kurma bergantung pada spesies pohon serta tempat tanamannya. Antara jenis kurma yang terkenal termasuklah kurma Ajwa, Medjool, Rotab, Mabroom, Safawi, dan Mariami. Rasa dan kemanisan buah-buah kurma ini adalah berbeza dan ianya bergantung pada jenis dan tahap kematangannya.




Buah kurma adalah makanan yang kaya nutrisi dan sangat menyihatkan. Pengambilannya bukan sahaja dapat memberikan sumber tenaga, malah ia kaya dengan serat serta pelbagai sumber vitamin dan mineral. Selain itu, kurma juga kaya dengan antioksidan yang menyumbang kepada pelbagai manfaat untuk kesihatan tubuh badan.


Kurma Ajwa Madinah


Sejarah mendapati penanaman pohon kurma bermula sejak 6000 hingga 8000 tahun yang lalu di Mesapotamia. Ia kemudian semakin berkembang terutama ke seluruh rantau Arab Saudi dan sehingga kini terdapat hampir 1400 jenis kurma yang ada di seluruh dunia.



Di Madinah sahaja terdapat hampir 120 jenis kurma, dan kurma ajwa dari Tanah Suci Madinah adalah antara kurma terbaik dan berkualiti tinggi di dunia. Kurma ajwa terkenal dengan warnanya yang agak gelap kehitaman dan isinya yang lembut, padat, dan tidak terlalu manis. Sering digelar “kurma nabi”, kurma yang enak dan dipenuhi pelbagai khasiat ini amat digemari Nabi Muhammad S.A.W.



Kelebihan amalan pengambilan 7 biji kurma ajwa ada disebut di dalam hadis, dari Saad bin Abi Waqqas, bahawa baginda Rasullulah S.A.W. telah bersabda:


مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً، لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ، وَلَا سِحْرٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwa pada waktu pagi, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya pada hari tersebut.” [HR al-Bukhari (5445) dan Muslim (2047)]


Ajwa ‘Aliyyah’ – Kurma dari Tanah Haram


Kurma Ajwa Aliyyah Madinah merupakan sejenis kurma Ajwa Madinah berkualiti tinggi yang ditanam di kawasan Tanah Haram Madinah yang dinamakan Aliyyah atau Awali. “Aliyyah” adalah suatu kawasan berbukit atau tanah tinggi yang subur dengan sistem pengaliran yang baik, dan ia terletak di sebelah tenggara bandar Madinah.



Kurma ini merupakan antara kurma Madinah yang disebut oleh Imam Al-Nawawi dalam kitab Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, di mana Kurma Ajwa Aliyyah Madinah ini dikatakan sebagai kurma yang baik bentuknya, padat dan lembut isinya, bersaiz sederhana, dan mempunyai ciri kehitaman pada rupanya serta berbau harum.

Kelebihan kurma Ajwa Aliyyah ini juga ada disebut dalam hadis, daripada Aisyah R.A bahawa Nabi S.A.W. bersabda:


إِنَّ فِي عَجْوَةِ الْعَالِيَةِ شِفَاءً – أَوْ إِنَّهَا تِرْيَاقٌ – أَوَّلَ الْبُكْرَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada kurma Ajwa Aliyyah itu ada ubat penyembuh atau ia merupakan ubat penawar bagi racun, apabila dimakan pada awal pagi.” [HR Muslim (2048)]



Khasiat dan Kebaikan Kurma Ajwa


Berbanding kurma lain, kurma Ajwa dikatakan mengandungi kandungan nutrisi yang lebih tinggi dan unik. Selain profil antioksidannya yang pelbagai, kandungan sumber karbohidratnya hanya terdiri dari sumber karbohidrat ringkas yang amat mudah dihadam.

Kajian dari Universiti Taibah, Arab Saudi menyatakan kelebihan kurma Ajwa Madinah berbanding yang lain adalah disebabkan oleh kandungan antioksidan flavonoid glycosides nya yang tinggi dan mampu merawat pelbagai penyakit dan memberikan kesan anti-radang. Selain itu, kajian dari Dr Mirza dari Universiti King Abdul Aziz, Jeddah juga melaporkan bahawa kurma ajwa berpotensi memberikan kesan anti-mikrob, anti-radang, anti-diabetik, dan anti-kanser.

Kajian-kajian lain juga mendapati pengambilan kurma ajwa dalam diet harian dapat membantu mengurangkan kolesterol dan merawat masalah gangguan usus, memelihara kesihatan organ, serta mampu mengawal hormon dan meningkatkan kesuburan lelaki dan wanita. Amalan pengambilan kurma ajwa oleh ibu-ibu hamil juga adalah sangat baik dalam memudahkan proses kehamilan dan kelahiran bayi.



Kurma Ajwa sebagai Amalan Pemakanan


Kesimpulannya, khasiat dan kebaikan yang terdapat pada kurma ajwa bukan sahaja hanya disebut di dalam Al-Quran dan Hadis, malah pelbagai kajian saintifik turut membuktikan manfaat dari amalan pengambilannya.

Jadikannya sebagai amalan pemakanan harian dan peneman setia anda ketika berpuasa.





Sumber Rujukan:


  • 8 Proven Health Benefits of Dates, Brianna Elliott, 2018, https://www.healthline.com
  • Fadilat Memakan Tujuh Biji Kurma, Tengku Ibrahim Helmi, 2019, https://muftiwp.gov.my
  • Mirza, M.B. et. al, 2019, Ajwa Dates: A Highly Nutritive Fruit with the Impending Therapeutic Application, Plant and Human Health, Volume 3, Springer.
  • Ida Royani et al., 2019, Effect of Ajwa Dates Consumption to Inhibit the Progression of Preeclampsia Threats on Mean Arterial Pressure and Roll-Over Test, BioMed Research International.
  • S, Khalid et. al, 2017, A review on chemistry and pharmacology of Ajwa date fruit and pit, Trends in Food Science & Technology.

Related products