Habbatussauda adalah biji jintan hitam. Sering digelar Habbatussauda oleh masyarakat arab, ia turut dikenali sebagai black cumin atau black seed, dan juga sebagai biji kalonji di India dan sekitarnya.
Biji jintan hitam ini telah digunakan sebagai bahan masakan dan penawar sejak beribu tahun lamanya, terutama oleh masyarakat timur tengah dan India. Bijian ini mempunyai rasa dan bau yang kuat apabila digigit. Ekstrak perahan minyak juga boleh dihasilkan dengan pelbagai teknik perahan.
Bijian yang penuh khasiat ini dituai dari tumbuhan digelar ‘Nigella sativa’. Jom kenali lebih lanjut sejarah dan fakta-fakta menarik di sebalik bijian penuh barakah ini.
1- Sejarah Habbatussauda
Permulaan sejarah penggunaan Habbatussauda terutama sebagai penawar masih tidak dapat diketahui dengan tepat. Namun, para arkeologi mempercayai bahawa ia telah digunakan dan ditanam sejak awal tamadun manusia lagi dengan penemuan bukti-bukti peninggalan dari zaman Tamadun Mesir dan Yunani Purba, iaitu sejak lebih 4000 – 5000 tahun lalu.
Bijian Habbatussauda telah ditemui di pemakaman Firaun Tutankhamun, justeru membuktikan kepentingan herba ini dalam kehidupan dan sejarah perubatan masyarakat Mesir Purba. Selain itu, penggunaan Habbatussauda juga ada dicatatkan dalam sejarah perubatan Yunani Kuno seperti Hippocrates dan Dioscorides.
2- Biji yang Diberkati
Penggunaan Habbatussauda sebagai penawar juga telah diamalkan sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W. Masyarakat dulu menggelarkannya sebagai ‘Biji yang diberkati’ kerana kelebihannya yang boleh menyembuhkan pelbagai penyakit. Malah masyarakat Mesir kini juga masih menggelarkannya sebagai ‘Habbatul Barakah’.
Habbatussauda merupakan antara makanan sunah yang disifatkan sebagai 1001 penawar penyakit. Kini, dengan pelbagai kemajuan teknologi, para saintis juga telah mengesahkan dan mengenal pasti, terdapat lebih dari 100 bahan-bahan penyembuh di dalam bijian habbatussauda ini.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aishah R.A,
إِنَّ هَذِهِ الحَبَّةَ السَّوْدَاءَ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ، إِلَّا مِنَ السَّامِ، قُلْتُ: وَمَا السَّامُ؟ قَالَ: المَوْتُ
Maksudnya: Sesungguhnya Habbatussauda adalah penawar bagi segala penyakit, melainkan al-Saam. Aku bertanya: Apakah al-Saam itu? Baginda S.A.W. menjawab: “Kematian”. [Riwayat al-Bukhari (5687)]
Hadis ini jelas menunjukkan terdapat pelbagai kelebihan dan manfaat dari penggunaan habbatussauda sebagai penawar, namun masih terdapat limitasi dalam penggunaannya dalam menyembuhkan penyakit. Justeru pelbagai kajian telah dijalankan sejak bertahun lalu untuk membuktikan keberkesanannya.
Selain itu, menurut para ulama seperti Ibn Hajar al-ʻAsqalani dan Ibn al-Qayyim, Habbatussauda amat bermanfaat untuk merawat penyakit-penyakit yang bersifat sejuk atau disebabkan kesejukan kerana sifat habbatussauda yang agak panas. Namun, perlu juga diingatkan, ada kalanya penggunaan habbatussauda tidak sesuai dengan mereka yang mudah alah, justeru sebaiknya digantikan dengan penawar yang lain.
3- Nigella Sativa
Jintan hitam di hasilkan dari tumbuhan ‘Nigella sativa’ yang termasuk dalam keluarga herba Ranunculaceae. Tumbuhan ini lebih dikenali dengan nama Habbatussauda, dan tumbuh secara meluas sejak berkurun lamanya di kawasan Asia Barat, Asia Selatan, Mediterranean dan Utara Afrika.
Nigella sativa asalnya adalah tumbuhan liar sebelum mula ditanam secara meluas disebabkan permintaan yang tinggi terutama untuk kegunaan perubatan. Ia merupakan tumbuhan yang berbentuk rumput kecil dengan ketinggian 20 – 30 cm, berdaun halus, dan berbunga pelbagai warna, sama ada biru muda, putih, ungu muda, kuning, dan merah jambu.
Ikuti kupasan seterusnya berkaitan sumber-sumber khasiat dan nutrisi yang terkandung dalam bijian penuh barakah ini.
Dapatkan Softgel Habbatussauda Rayhanah dengan jaminan ekstrak perahan minyak berkualiti tinggi dan penuh nutrisi.
Dapatkan Softgel Habbatussauda Dari Rayhanah Hari Ini!
Sumber Rujukan:
- A. Ahmad et. al, “A review on therapeutic potential of Nigella sativa: a miracle herb”, 2013, Asian Pacific Journal of Tropical Biomedicine, 3(5): 337 – 352.
- “Ketahui kehebatan Habbatus Sauda”, Majalah Al-Islam, Mac 2012.
- “Habbatussauda sebagai penawar segala penyakit”, http://herbadantumbuhan.blogspot.com, 2011
- “Understanding the hadith, habbatussauda is a remedy to all illnesses” Ibrahim Adham, 2021, https://muftiwp.gov.my