Kenali 5 Jenis Minyak Zaitun dan Kegunaannya

Kenali 5 Jenis Minyak Zaitun dan Kegunaannya

Zaitun atau nama saintifiknya Olea europaea, tumbuh secara meluas di kawasan Mediterranean sejak berkurun lamanya.

Pokoknya mampu mencapai ketinggian sehingga tiga meter, berdaun hijau terang, dan buahnya berwarna hijau dan bertukar kekuningan, merah atau ungu gelap setelah masak bergantung pada jenis dan tahap kematangannya.



Minyak perahan dari buah zaitun kaya dengan pelbagai manfaat dan kebaikan tersendiri. Jom ketahui lebih lanjut tentang zaitun dan jenis-jenis minyak zaitun yang ada di pasaran.


Pengenalan dan Sejarah


Minyak zaitun sudah digunakan masyarakat di rantau Mediterranean dan timur tengah sejak ribuan tahun dahulu untuk pelbagai tujuan perubatan, kecantikan dan kegunaan harian.

Kegunaannya kini semakin tersebar luas di seluruh dunia dan minyak zaitun turut diiktiraf sebagai salah satu ‘superfood’ yang memberi pelbagai kelebihan. Kini, Sepanyol dan Itali merupakan negara pengeluar minyak zaitun terbesar.



Rekod sejarah menunjukkan penanaman pokok zaitun telah wujud sejak zaman Yunani dan turut digunakan untuk tujuan perubatan pada zaman Mesir Purba dan Greek.

Khasiat dan kebaikan minyak zaitun juga banyak tercatat di dalam Al-Quran dan hadis. Pada zaman Rasullullah S.A.W., minyak zaitun digunakan dalam pemakanan harian dan juga untuk pelbagai tujuan perubatan.



Jenis-jenis Minyak Zaitun


Terdapat pelbagai jenis minyak zaitun yang terdapat di pasaran. Setiap jenis ini akan menentukan kualiti minyak zaitun tersebut serta kesesuaian kegunaannya.



1- Minyak Zaitun Extra Virgin (Extra Virgin Olive Oil)


Minyak zaitun extra virgin (EVOO) merupakan minyak zaitun dengan kualiti terbaik dan kadar asid kurang 1%. Minyak ini merupakan hasil perahan pertama buah zaitun menggunakan teknik cold-pressed, iaitu tekanan mekanikal tanpa haba dan tanpa campuran sebarang bahan kimia.



Minyak yang dihasilkan berwarna kehijauan dengan rasa yang agak pahit dan bau yang kuat, kerana ia kaya dengan aroma dan rasa minyak zaitun yang asli. EVOO mempunyai kualiti dan kandungan nutrient yang sangat baik berbanding minyak zaitun lain, dan ia terbukti kaya dengan sumber antioksida semulajadi seperti polifenol.



Penggunaan minyak jenis ini adalah sangat baik untuk penjagaan kesihatan dan kecantikan, namun ia tidak digalakkan untuk kegunaan memasak menggunakan sebarang haba yang tinggi.

Dengan smoke point 160OC, penggunaan haba melebihi tahap ini akan memberikan kesan pada khasiat dan nutrisi yang terkandung dalam minyak ini. Penggunaan minyak ini sebaiknya diambil begitu sahaja atau boleh di campur dalam masakan seperti salad, roti, pasta atau bubur.



2- Minyak Zaitun Virgin (Virgin Olive Oil)


Minyak zaitun virgin (VOO) mempunyai kualiti kedua terbaik selepas EVOO. Minyak ini berwarna kuning kehijauan dengan keasidan antara 1 – 4 %. Berbanding EVOO, minyak zaitun virgin dihasilkan hasil dari proses perahan kedua, tetapi masih lagi menggunakan teknik perahan tanpa haba dan bahan kimia.



Minyak ini juga lebih tahan suhu berbanding EVOO, tetapi masih tidak digalakkan untuk kegunaan memasak dengan api besar seperti menggoreng. Dengan suhu maximum smoke point 199OC, minyak ini masih boleh digunakan untuk menumis menggunakan api kecil dan sesuai untuk memanggang.


3- Minyak Zaitun Asli (Regular/Pure Olive Oil)


Minyak zaitun asli ini merupakan minyak zaitun komersial yang biasa terdapat di pasaran. Mempunyai rasa zaitun yang kurang, serta warna yang lebih cair dan kekuningan, minyak ini dihasilkan menggunakan proses-proses penyulingan dan penapisan yang melibatkan penggunaan bahan kimia dan haba.



Minyak ini mengandungi kandungan nutrient yang lebih rendah, dan harganya juga adalah lebih murah di pasaran. Kebanyakan minyak jenis ini juga merupakan hasil campuran minyak zaitun yang di proses dan sedikit minyak zaitun virgin atau extra virgin untuk mengembalikan rasa zaitun yang hilang setelah diproses.



Dengan smoke point yang lebih tinggi, minyak zaitun jenis ini boleh digunakan untuk kegunaan memasak dengan suhu dikawal seperti untuk menggoreng, menumis, dan memanggang. Namun, perlu diingatkan, penggunaan suhu yang terlalu tinggi melebihi smoke point masih akan merosakkan nutrient yang ada dalam minyak.



4- Minyak Zaitun Ringan/Halus (Light/Extra-light Olive Oil)


Minyak zaitun ringan dihasilkan melalui proses yang sama dengan minyak zaitun asli, namun mempunyai komposisi campuran yang berbeza.

Seperti minyak zaitun asli, minyak ini turut melalui beberapa proses penyulingan dan penapisan dan ia melibatkan penggunaan haba dan campuran bahan kimia. Kemudian, minyak yang diproses ini juga dicampur dengan minyak zaitun virgin atau extra-virgin pada akhirnya untuk kembalikan rasa zaitun asli.



Minyak zaitun ringan ini kurang rasanya tetapi mempunyai tahap smoke point yang lebih tinggi. Justeru, seperti minyak zaitun asli, minyak zaitun ringan juga boleh digunakan untuk kegunaan memasak seperti membakar (baking), menumis, dan memanggang.


5- Minyak Zaitun Pomace (Olive Pomace Oil)


Minyak zaitun pomace merupakan gred minyak zaitun terendah. Minyak ini dihasilkan dari sisa kering buah zaitun yang telah diperah untuk mengekstrak minyak zaitun extra virgin dan ia telah melalui beberapa proses penapisan.

Minyak zaitun jenis ini juga turut dicampur pelbagai variasi minyak zaitun VOO untuk kembalikan rasa minyak zaitun yang hilang.


Sisa kering dari buah, kulit, dan biji zaitun hasil perahan pertama dan kedua akan digunakan untuk memproses minyak zaitun jenis pomace


Minyak zaitun ini kebiasaannya digunakan sebagai minyak urutan, selain boleh digunakan untuk memasak, menggoreng, dan memanggang kerana mempunyai smoke point yang tinggi. Minyak jenis ini juga termasuk dalam kategori minyak masakan yang diproses seperti minyak jagung, canola, dan sayuran.



Kesimpulan


Setiap jenis minyak zaitun mempunyai kelebihan dan manfaatnya tersendiri bergantung pada kualiti minyak hasil perahan. Teknik dan proses perahan memainkan peranan penting selain jenis buah zaitun yang digunakan.



Mengenali lebih lanjut tentang jenis-jenis minyak zaitun dapat membantu para pengguna membuat pilihan bergantung pada tujuan penggunaan minyak tersebut. Ikuti kupasan selanjutnya untuk ketahui lebih lanjut kebaikan minyak zaitun.


Dapatkan Softgel Zaitun Gold, ekstrak perahan minyak zaitun extra virgin keluaran Rayhanah.




Sumber Rujukan:

  • 4 Jenis Minyak Zaitun dan 5 Khasiat Kepada Kesihatan, Atika Razali, 2020, https://rootofscience.com
  • M. Gorzynik-Debicka et al., Potential health benefits of olive oil and plant polyphenols, 2018, Int. Journal of Molecular Sciences, 19, 547.
  • The Different Types of Olive Oil, Diana Rattrey, 2021, https://www.thespruceeats.com
  • 9 Jenis Minyak Zaitun Yang Harus Anda Kenali, Nurul Hani, 2021, https://saji.my

Related products